...

Kalau kau percaya pada cinta

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Biasanya aku tak susah nak approve new friends kat FB. Janji profile ada gambar muka, belek-belek sikit friends yang dia ada dan stalk wall sama ada diisi dengan benda-benda bermanfaat. Adat orang meniaga memang la, dapat member baru lagi kita suka. Potential customer hehu. Tapi kalau tak berniaga pun aku suka luaskan rangkaian. Seronok jumpa pelbagai jenis manusia macam-macam karakter. Baru kalerful hidup kita.

Tetiba semalam terperasan satu komen bawah gambar anak aku siap tulis French. Tres belle ma fille. Aku pun tekan kat automatically translated: my daughter you are very beautiful. Aku tengok nama yang komen. Siti Natrasha Moutsiami Abdullah. Ingat Jepun mana. Stalk wall dia nampak kat cover FB fambar family yang unik sekali. Macam rasa tak percaya aku pergi galeri gambar pulak. Bertambah-tambah unik.

Seorang jejaka Melayu yang beristerikan warga Afrika. Entahlah mungkin ada ramai yang dah jumpa, tapi aku first time ni. Kalau perempuan Melayu kahwin lelaki Afrika berlambak dah jadi cliché malas nak cerita. But this one should be something really rare. Rupanya aku pun tak sedar mereka suami isteri dah jadi friends dalam FB entah sejak bila.

Mula-mula cuba PM Siti tapi dia tak jawab. Seen pun tidak. PM pulak kat FB messenger husband, baru reply. Dapat je nombor terus aku mesej di WhatsApp. Disebabkan tengah memandu aku pun poyo je interview pakai voice message. Terkejut beruk bila dia membalasnya.

‘Kamu di KL ka?’ terdengar suara tipikal wanita Afrika yang ala-ala garau gitu cakap bahasa Sabah. Ok, impressed.

Aku pun bagi salam dan mengiyakan ada di KL.

‘Ooo…waalaikumussalam, saya ni di Sabah, Kota Kinabalu… jauh la….’ Katanya sambil tergelak kecik kat belakang.

Dah kenalkan diri lebih kurang, aku tanya Siti boleh ke interview dia.

‘Boleh je…..’ katanya.

First impression. Must be a fun girl. And yes she is. Makin lama makin seronok berbual sebab dia faham semua soalan yang aku tanya dalam bahasa Melayu. Siti tak boleh berbahasa Inggeris, dia fluent dalam bahasa Perancis dan Melayu saja.

Siti Natrasha, baru jejak usia 23 tahun, mengakui berkahwin dengan Abdul Rasit Abdul Rahman, 36, jejaka berketurunan Bajau ketika dia masih bersekolah. Yang interestingnya pertemuan mereka berlaku di negara kelahiran Siti, Congo- Brazzaville lewat empat tahun yang lalu.

“Suami saya kerja bawa lori balak. Company di Sarawak bawa dia datang ke Congo. Kenal secara kebetulan sebab saya pun ada sorang kawan yang kahwin dengan lelaki Melayu. Jadi dialah yang kenalkan kami,” katanya mengimbas detik awal-awal perkenalan.

Kata Siti, mereka melangsungkan perkahwinan di sebuah masjid di Congo setelah mendapat persetujuan anggota keluarganya.

“Saya kira saya ni bertuah, suami saya berusaha untuk bawa saya balik ke Malaysia. Ada ramai lelaki Melayu yang berkahwin dengan wanita sini, tapi bila dah habis kerja mereka balik, tinggalkan isteri dan anak-anak. Lepas tu tak pernah datang jenguk pun.

“Rasit lain. Dia kerja keras nak bawa saya balik Malaysia. Masa tu saya tengah mengandung satu bulan. Kami sampai Malaysia betul-betul masa raya pertama. Ipar ambil di airport dan bawa saya dan suami ke rumah mertua,” katanya yang menyifatkan suaminya sebagai seorang yang sabar dan sangat penyayang.

Tambah Siti, memulakan hidup baru di Malaysia, mereka suami isteri berniaga barangan basah dan runcit di rumah sehinggalah dia melahirkan anak sulung.

“Lepas lahirkan Falex, suami saya sambung kerjanya bawa lori balak dan saya jadi suri rumah jaga anak saja,” katanya dengan fasih.

Siti juga bersyukur dikurniakan ibu dan ayah mertua yang sangat menyayanginya.

“Mula-mula saya sampai mak mertua dah bawa saya beli barang. Belikan baju, belikan barang keperluan, belikan gelang emas. Dia juga belikan barang-barang bayi sebab saya tengah mengandung masa tu,” katanya.

Dia yang dilahirkan beragama Kristian juga kemudian kembali kepada agama Islam (reverted) dan bersyukur memperolehi ketenangan dan kedamaian semenjak itu.

“Dalam Islam saya belajar yang Jesus itu nabi sahaja, dia bukan Tuhan. Dia sendiri juga memerlukan pertolongan daripada Tuhan. Dan saya amat tertarik dengan Islam yang bersifat universal. Semua umat Islam hanya berpandukan al-Quran sebagai jalan hidup. Tak ada lebih dan kurang. Kat mana-mana di dunia pun kalau orang beri salam Assalamualaikum, jawabnya mesti Waalaikumussalam. Saya memang terima agama ini dengan hati yang terbuka,” katanya.

Cerita Siti, pada mulanya dia berasa agak sukar namun berkat kesabaran dan bimbingan suami, Siti akhirnya menjalani trasnformasi menjadi muslimah sejati.

“Mula-mula dulu suami saya yang kena paksa saya solat, sekarang Alhamdulillah saya sendiri sepenuh hati solat tanpa perlu dia beritahu,” katanya.

Bagi Abdul Rasit pula, dia menyifatkan pertemuannya dengan Siti Natrasha sebagai jodoh yang telah ditentukan Allah SWT.

“Masa saya kerja di Congo, dia dan keluarga dia banyak bantu saya. Mereka pernah jaga saya sampai baik masa saya sakit teruk.

“Natrasha seorang yang ikhlas dan baik hati, itu yang menarik perhatian saya. Dia sabar dengan segala ujian yang kami terpaksa tempuh. Dan dia sedia untuk susah senang dengan saya,” katanya.

Menurut Rasit, dia tidak melihat sebarang perbezaan antara Natrasha dengan gadis-gadis Malaysia.

“Bagi saya mudah. Selagi kita tak hidup dengan orang tu, kita tak akan tau. Manusia sama aje, ada yang baik, ada yang lembut, ada yang kasar, tak kisahlah dia asal dari mana pun. Saya terima jodoh yang Allah beri dan bersyukur Natrasha isteri yang baik dan mudah dibentuk,” katanya.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki yang comel, Abdul Falex yang kini berusia tiga tahun.

Ditanya sama ada Siti mampu menyediakan juadah masakan Melayu, Rasit ketawa besar.

“Bolehlah, dia pandai masak telur masak kicap,” katanya. Tambah Rasit, Natrasha juga mengambil masa dua tahun sahaja untuk menguasai bahasa Melayu Sabah dengan baik.

Sekarang kau percaya pada kuasa cinta?

Leave a Reply

%d bloggers like this: